Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KDNK Suku Ketiga 2025 Catat Pertumbuhan 5.2 Peratus – Fahmi

By 14 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini mencatatkan pertumbuhan lebih pesat berbanding jangkaan iaitu 5.2 peratus.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini itu juga menjangkaui sasaran.

“Perdana Menteri juga telah memaklumkan kepada jemaah hasil ataupun laporan Bank Negara Malaysia yang telah mengumumkan kadar pertumbuhan KDNK rasmi yang disahkan iaitu 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025.

“Ini telah menjangkaui apa yang kita anggap sebagai best case projection (unjuran kes terbaik) sebelum ini sebanyak 4.8 peratus. Walaupun sebelum ini pernah diumum angka tersebut tapi ia hanya anggaran pada waktu itu dan pada hari ini telah disahkan,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Beliau berkata Anwar juga memaklumkan antara sektor yang mencatatkan pertumbuhan KDNK paling tinggi dan memberangsangkan adalah sektor perkhidmatan yang mencatat hampir 9 peratus kadar pertumbuhan dan sektor pembinaan dengan hampir 12 peratus.

“Ini membuktikan bahawa keadaan pertumbuhan ekonomi dalam negara kita berada dalam kedudukan yang baik, di landasan yang betul dan terus mencatat pertumbuhan yang cukup baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan kerajaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Fahmi berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti lebih 3,682 lokasi titik panas (hotspot) banjir yang akan menjadi tumpuan persiapan.

“Di bawah Jabatan Mineral dan Galian (Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia), sejumlah 254 cerun kritikal telah dikenal pasti. Sementara itu, sebanyak 1,798 stesen hidrologi telah disiap-sediakan, 614 unit siren amaran banjir telah bersedia untuk beroperasi dan 285 rumah pam telah disiapkan.

“Pam-pam bergerak juga telah ditambah untuk persiapan menghadapi banjir. Sejumlah empangan telah dikenal pasti yang mana sekiranya berlaku limpahan air ataupun air melebihi tahap kritikal, maka tindakan-tindakan intervensi akan diambil untuk menjamin keselamatan terutama untuk penduduk yang tinggal tidak jauh daripada lokasi empangan,” katanya.

Fahmi berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah diaktifkan dan bersiap-sedia untuk digerakkan di bawah Op Murni bagi menghadapi MTL.

Media sebelum ini melaporkan MTL yang bermula semalam dijangka berterusan hingga Mac tahun depan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi negeri terawal diramal mengallami hujan lebat berterusan.

-RI

Tinggalkan komen anda