
Laporan/foto: Farah Shaherza/ Basharuddin (Kuantan)
KUANTAN, 16 Nov (MalaysiaAktif) – Paya Besar bersedia muncul sebagai hab pembangunan baharu di Pantai Timur menerusi empat ‘Game Changer’ utama dalam Pelan Tindakan Khas Bandar Baharu Paya Besar 2030 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.
Empat teras perubahan tersebut merangkumi pembangunan Hab Pendidikan Tinggi Antarabangsa, inisiatif Road to UNESCO Sungai Lembing, pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Panching, serta pembinaan The EAST, pusat teknologi dan inovasi berteraskan konsep THIS (Technology, Humanity, Innovation, Sustainability) satu rangka kerja yang mengintegrasikan peranan teknologi dan inovasi bagi mencapai pembangunan lestari sambil menekankan kesejahteraan manusia.
Pelan ini turut menumpukan peningkatan keterhubungan melalui Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pengukuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan komuniti moden.
Menurut Mohd Shahar, pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara inklusif dan mampan agar manfaatnya dirasai seluruh penduduk.
“Kita mahu melahirkan generasi seimbang dari segi intelek, rohani dan sosial. Apabila niat kita ikhlas dan kerja kita konsisten, Allah bukakan jalan kejayaan satu demi satu,” katanya ketika berucap di Sesi Taklimat ‘Progress Update Pelan Tindakan Khas Bandar Baharu Paya Besar 2030’, di sini kelmarin.
Beliau turut menyatakan bahawa kedudukan Paya Besar semakin strategik dengan sambungan terus ECRL ke Kuala Lumpur serta cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuantan, sekali gus memperkukuh potensi Hab Pendidikan Tinggi Antarabangsa di rantau ini.
-RI





