
Laporan/Foto : Siti Mariam Mahdar/ Ting Ah Tai /Mohd Hafiz Jonidi (Sarawak)
MARUDI, 16 Nov (Malaysia Aktif) – Harapan penduduk Baram untuk menikmati perjalanan lebih selamat dan mudah akhirnya direalisasikan dengan pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Panai–Long Lama (3M2L), dengan kos keseluruhan RM3.8 billion.

Abang Jo ketika merasmikan jalan baharu ini menzahirkan keyakinan bahawa 3M2L menjadi pemangkin perubahan besar buat Baram dan kawasan sekitarnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg berkata pembangunan berkenaan adalah simbol komitmen kerjaan negeri dalam memajukan Baram serta meningkatkan taraf hidup masyarakat pedalaman.
“Penggunaan teknologi termaju, termasuk cip Ketek AI (kecerdasan buatan) hasil inovasi anak Sarawak di United Kingdom mampu dimanfaatkan untuk membina jalan raya dan jambatan dengan lebih efisien dan moden,” katanya ketika merasmikan Projek Jalan 3M2L di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Pengerusi Highland Development Agency (HDA), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek berimpak besar itu dibangunkan dengan komponen lengkap merangkumi 142 kilometer (km) jalan utama, 33km jalan akses serta 23 jambatan bagi memastikan penduduk menikmati perjalanan yang lebih selamat, lancar dan singkat.

Uggah berharap penduduk di kawasan terlibat dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan singkat.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan teknologi moden seperti Highway Information Modelling (HIM), LiDAR dan pemetaan udara 3D membantu memastikan pembinaan lebih mesra alam, meminimumkan risiko keselamatan serta memelihara ekologi kawasan sensitif.
“Bagi penduduk di Marudi, Telang Usan dan Mulu, jalan baharu ini memberi makna besar kerana perjalanan anak-anak ke sekolah menjadi lebih mudah, petani dapat memasarkan hasil dengan lebih cepat serta meningkatkan akses pelancong ke Taman Negara Mulu dan destinasi lain di Limbang dan Lawas,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata projek 3M2L melambangkan perubahan yang lama dinantikan masyarakat.
“Inilah perubahan yang dinantikan oleh ibu bapa, petani dan penduduk rumah panjang,” katanya.
Terbinanya Jalan 3M2L, akan menjadi simbol pembangunan baharu yang bakal mengubah wajah pedalaman Sarawak, membuka laluan kepada peluang pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
-RJ-





