
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Itizam Kita Selangor Penyayang (Iltizam), menghimpunkan lebih 30 agensi kerajaan negeri dan persekutuan bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat serta bantuan secara terus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari berkata program itu memfokuskan penyampaian maklumat mengenai 46 inisiatif di bawah Itizam Selangor Penyayang merangkumi keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

Anfaal melawat di reruai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, Gombak dijadikan model Daerah Penyayang melalui pelaksanaan program berskala besar sebelum diperluas ke daerah lain.
“Pada program ini, kerajaan negeri turut menyerahkan Notis 5A kepada penduduk Bukit Nenas, Batu Arang sebagai langkah memberi kepastian hak milik tanah yang telah lama ditunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Iltizam Kita Selangor Penyayang (Iltizam) Daerah Gombak di Dewan Seri Siantan, Sungai Tua, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat, Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Datuk Hasnal Rezua Merican, ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta persekutuan di Gombak.
Selain itu, lebih 30 penerima daripada DUN Sungai Tua, Templer, Rawang dan Kuang menerima bantuan melibatkan pelajar, asnaf dan kebajikan.

Pengunjung program Hari Bertemu Pelanggan Dan Promosi Iltizam Selangor Penyayang sedang mendapatkan maklumat di reruai yang menyertai Hari Bertemu Pelanggan Daerah Gombak.
Antara agensi terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Hijrah Selangor, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), GiatMARA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rejimen Askar Wataniah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Setiap agensi menyediakan maklumat berkaitan pembiayaan, latihan, keselamatan, aduan awam dan perkhidmatan tempatan.
Pejabat Daerah dan Tanah Gombak turut memaklumkan berkenaan hal ehwal tanah serta menyerahkan bantuan kepada 20 keluarga B40, selain 24 penerima dari DUN Sungai Tua dan lima penerima lain termasuk penyerahan notis 5A.
Anfaal menegaskan, dasar Itizam Selangor Penyayang bukan sekadar slogan, sebaliknya dibuktikan melalui tindakan langsung yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
-RI





