
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Keningau)
KENINGAU, 16 Nov (MalaysiaAktif) – Keselamatan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Keningau berjalan lancar dengan kawalan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai berkata proses penamaan calon kali ini melibatkan dua kawasan Parlimen di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau iaitu Keningau dan Pensiangan yang merangkumi enam Dewan undangan Negeri (DUN) keseluruhannya.
Menurutnya persiapan rapi telah dibuat lebih awal termasuk sesi libat urus bersama wakil semua parti politik bagi memastikan mereka memahami serta mematuhi peraturan sepanjang proses penamaan calon PRN Sabah di Dewan Masyarakat Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai (tiga dari kiri) bersama Pegawai Kanan Balai Polis Daerah Keningau.
“Seramai 120 anggota polis ditugaskan khusus untuk kawasan Parlimen Keningau, dibantu kekuatan tambahan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah termasuk anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Aliran trafik di sekitar lokasi penamaan calon berada dalam keadaan terkawal dengan pemantauan polis trafik tanpa sebarang penutupan jalan dilakukan,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Sukan Dewan Masyarakat Keningau, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata PDRM sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan awam terutamanya ketika proses penting seperti penamaan calon berlangsung.
“Kita berharap semua parti yang bertanding dapat menunjukkan sikap profesional bagi mengelakkan sebarang bentuk provokasi serta mematuhi setiap garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di daerah Keningau terus terpelihara,” katanya.
-RJ-





