
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Politeknik Malaysia meneruskan dominasi dalam acara taekwondo pada edisi pertama Varsity Combat Sports (VCS) 2025 selepas mengutip enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Tuan rumah, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menjadi penyumbang terbesar dengan lima emas dan satu perak, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) meraih satu emas dan satu perak manakala Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menyumbang satu gangsa.

Juara keseluruhan edisi sulung Varsity Combat Sports milik Universiti Teknologi Mara, diikuti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (kedua), Politeknik Malaysia (ketiga) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (keempat) daripada keseluruhan 46 kontinjen yang bertanding.
Unit Komunikasi Korporat PSA dalam satu kenyataan, berkata prestasi itu mengukuhkan kedudukan Politeknik Malaysia di hadapan Sunway Universiti dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain menempatkan kontinjen tersebut di tangga ketiga keseluruhan.
“Politeknik Malaysia berjaya mengumpul lapan emas, enam perak dan empat gangsa di belakang UiTM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya.
VCS 2025 berlangsung dari 13 hingga semalam itu menghimpunkan 838 atlet daripada 46 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, merangkumi tiga disiplin iaitu taekwondo, karate dan silat.
Menurut kenyataan itu, dalam acara karate, Politeknik Malaysia meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UiTM.
“Saingan silat pula menyaksikan UPSI mendominasi podium dengan lima emas, empat perak dan enam gangsa, diikuti UiTM dengan empat emas, tiga perak dan tiga gangsa serta UPNM (empat emas, satu perak dan dua gangsa).
“Pihaknya kami berbangga dengan pencapaian tersebut kerana membuktikan potensi besar atlet IPT, sekali gus mengukuhkan peranan VCS sebagai platform pembangunan bakat dan pemilihan atlet ke kejohanan antarabangsa,” ujarnya.
Majlis Penutupan VCS 2025 disempurnakan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa di Dewan Al Jazari PSA, di sini semalam.
Hadir sama Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts Abdul Razak Sabtu, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dr. Hanafiah Ayub, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK Azirin Abdul Aziz serta Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman.
-RI






