Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Rakyat Warnai LHKSNS Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak

By 17 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Suzira Zainol Abidin (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Program Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2025 berlangsung meriah apabila pelbagai lapisan rakyat hadir memeriahkan acara tahunan itu sebagai tanda kasih dan setia kepada institusi Diraja Perak.

Prabu (duduk hadapan, kiri) bersama rombongan peserta dari SK Chenderong Kelubi

Menurut peserta cilik, Tee See Zee, 11, penyertaan acara larian tahunan ini bukanlah kali pertama disertainya, bahkan ia kali kedua dirinya menyahut cabaran dalam kategori 7 kilometer (km).

“Perasaan gembira dan seronok kerana masih berpeluang menyertai program yang amat dinantikan ini biarpun terpaksa bangun awal dan bertolak seawal pukul 4 pagi dari sekolah.

“Biarpun penat namun dengan kehadiran rakan-rakan dan guru, kami semua berjaya menamatkan larian tanpa sebarang masalah,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderong Kelubi, Kampung Gajah.

Sementara itu, guru penyelaras Prabu Jeyaseelan, 38, berkongsi pengalamannya selama 13 tahun berkhidmat dia telah membawa rombongan murid untuk menyertai larian ini setiap tahun.

“Ini tahun ketiga saya di SK Chenderong Kelubi dan setiap tahun pihak sekolah pasti membawa murid-murid ke acara ini setelah menerima laluan khas bagi memastikan penyertaan murid-murid dalam LHKSNS.

Keindahan sawah padi menghiasi laluan trek larian tahun ini

“Ia adalah salah satu cara untuk memberi semangat kepada murid agar lebih bersemangat dalam pembelajaran selain penghargaan kepada mereka yang kebanyakan merupakan atlet sekolah,” katanya yang juga Guru Kanan Kurikulum SK Chenderong Kelubi.

Tambah Prabu, kesemua murid yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli itu merupakan murid darjah empat hingga enam.

LHKSNS merupakan acara tahunan yang disambut sempena meraikan Hari Keputeraan Sultan Perak dengan tahun ini sebanyak tiga kategori larian diacarakan iaitu 7km, 10km dan 15km.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat dan melepaskan para peserta bagi semua kategori larian seawal pukul 6.45 pagi, di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar, di sini semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

-AA-

Tinggalkan komen anda