
Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus/ Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Borneo Arts Festival (BAF) 2025 yang berlangsung di Labuan merupakan cerminan nyata kepada semangat #3Cerita1Jiwa.

Fadillah semasa menyampaikan ucapan penutupan BAF 2025
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata BAF 2025 menceritakan subtema pelancongan Pesona 3W: #3Cerita1Jiwa, yang menggabungkan keunikan tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh sektor pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Jabatan Wilayah Persekutuan turut memperkenalkan subtema pelancongan Pesona 3W: #3Cerita1Jiwa.
“BAF menjadikan seni dan budaya sebagai jambatan menyatukan tiga wilayah di bawah satu identiti nasional yang utuh dan berjiwa rakyat,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan BAF 2025, di sini semalam.

Persembahan tarian etnik tidak ketinggalan menghangatkan Majlis Penutupan BAF 2025
Beliau berkata Labuan dengan kedudukan strategiknya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara boleh menjadi pusat pertemuan budaya dan perdagangan kreatif.
“Melalui acara seperti BAF, kita bukan sekadar mempamerkan seni, malah membuka ruang ekonomi baharu dengan penglibatan komuniti sehingga menarik negara luar untuk berkolaborasi dalam industri pelancongan dan kesenian.
“Kerajaan melihat BAF sebagai pemangkin penting ke arah menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab penganjuran acara berimpak tinggi,” katanya.
-AA-






