
Laporan/ foto: Maznah Ngah/ Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail bertitah usaha menanam buluh oleh pengakap bukan sekadar aktiviti menghijaukan alam tetapi manifestasi cinta terhadap bumi.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu merasmikan Program Penanaman Buluh di Kem Telaga Batin, Kuala Terengganu
Baginda bertitah usaha itu juga adalah suatu langkah pendidikan karakter seiring dengan nilai ketahanan mental dan fizikal seorang pengakap.
“Buluh dipilih kerana ia melambangkan kekuatan, ketahanan dan kelenturan, nilai yang perlu tersemat utuh dalam diri setiap ahli pengakap agar mampu berdepan cabaran kehidupan dengan tabah, disiplin dan berdaya saing,” titah Baginda ketika merasmikan Program Penanaman Buluh di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kem Telaga Batin, di sini kelmarin.
Baginda juga menitahkan supaya generasi muda dipupuk dengan rasa tanggungjawab dan amanah terhadap alam sekitar kerana ia merupakan khazanah Allah SWT yang wajib dipelihara bersama.

Program Penanaman Buluh sebagai simbol ketahanan, kelestarian dan pembentukan karakter pengakap masa kini
Baginda turut merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu serta semua pihak yang menjayakan program tersebut, sebelum menyeru agar inisiatif murni itu dilanjutkan ke seluruh negeri sebagai gerakan hijau berimpak jangka panjang.
Program berkenaan bukan sahaja memupuk kelestarian alam, malah mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan ahli pengakap sebagai pewaris kepimpinan masa depan.
-AA-





