
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 20 Nov (MalaysiaAktif) – 150 buah topi keledar diedarkan kepada pelajar sekolah menerusi Program Safe Helmet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, semalam.

Zuhaidy ketika berucap merasmikan program.
Kesemua penerima berusia antara enam hingga lapan tahun dari enam buah sekolah terpilih di Sepang yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama mereka ke sekolah masing-masing.
Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sepang Zuhaidy A Rahman berkata program berkenaan menyasarkan advokasi kepada kanak-kanak dan ibu bapa bagi memastikan keselamatan mereka di tahap terbaik semasa menaiki motosikal.
“Ia terutamanya melalui pemakaian topi kaledar mengikut spesifikasi dan kaedah yang ditetapkan.
“Saya berharap usaha murni ini akan memberikan impak besar dalam memastikan tahap keselamatan jalan raya negara berada pada tahap yang optimum, terutamanya melibatkan keselamatan golongan kanak-kanak,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.
Program anjuran JPJ dan MKJR merupakan suatu inisiatif penting yang memfokuskan kepada peningkatan tahap keselamatan kanak-kanak di jalan raya.

Taklimat kaedah melintas jalan yang selamat oleh kakitangan JPJ Negeri Selangor.
Selain agihan peralatan keselamatan, program sehari itu turut dimuatkan dengan pelbagai aktiviti kesedaran oleh JPJ Selangor bagi mendidik kanak-kanak dan ibu bapa mengenai amalan keselamatan jalan raya yang betul.
Turut diadakan ialah Taklimat Keselamatan Jalan Raya, Pocket Talk mengenai Keselamatan Membonceng Motosikal dan Pemakaian Topi Keledar, Kaedah Melintas Jalan Yang Selamat, Kaedah Menaiki Van Sekolah Yang Selamat serta Pameran Keselamatan Jalan Raya.
Turut hadir Pegawai Daerah Sepang yang juga Pengerusi MKJR Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim.
-RI





