Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pengusaha Pusat Jagaan di Selangor Disaran Mohon GPJ Tingkat Kualiti Perkhidmatan

By 21 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Arif Ishak (Selangor)

SHAH ALAM, 21 Nov (MalaysiaAktif) – Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di Selangor digalakkan memohon Geran Pusat Jagaan (GPJ) yang ditawarkan kerajaan negeri bagi memperkukuh sektor penjagaan di negeri ini.

Anfaal merasmikan Majlis Penyerahan Geran Pusat Jagaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata pemberian GPJ merupakan salah satu inisiatif di bawah Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memastikan pematuhan operasi di pusat jagaan.

Menurutnya, sehingga kini, 24 pusat jagaan yang memenuhi syarat di seluruh Selangor telah menerima bantuan tersebut.

“Setakat ini, lebih 200 permohonan telah diterima dan kita akan meneliti setiap permohonan bagi menentukan kelayakan. Perkara ini akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Anfaal bersama penerima Geran Pusat Jagaan.

“Dalam mesyuarat itu, kita akan menilai pusat jagaan yang layak sebelum mengemukakan senarai kepada jawatankuasa penilai untuk pengesahan kelulusan serta jumlah bantuan yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Pusat Jagaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Anfaal berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pelaksanaan GPJ dengan setiap pusat jagaan layak menerima sehingga RM5,000 bagi menampung kos pematuhan dan proses pendaftaran.

Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang gpj.selangkah.my dan dibuka kepada semua pengusaha termasuk perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Dalam Komuniti (PDK) serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang berdaftar.

Antara syarat kelayakan lain ialah premis mesti beroperasi di Selangor, menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak, OKU atau warga emas serta mempunyai komitmen untuk berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-RI

Tinggalkan komen anda