Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bas Hop-On Hop-Off Tarikan Baharu Teroka Kota Kinabalu

By 22 November 2025November 23rd, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

PENAMPANG, 22 Nov (MalaysiAktif) – Perkhidmatan bas Hop-On Hop-Off (HOHO) yang diperkenalkan di Kota Kinabalu kini menjadi tarikan baharu kepada pelancong dan penduduk tempatan.

Inisiatif ini menawarkan pengalaman santai untuk meneroka pelbagai lokasi ikonik di bandaraya, sekali gus menjadikannya konsep pertama seumpamanya diwujudkan di Sabah.

Melalui perkhidmatan ini, penumpang bebas turun dan naik di mana-mana 17 perhentian yang ditetapkan di sekitar Kota Kinabalu.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata fleksibiliti tersebut membolehkan pengunjung meluangkan masa lebih lama di destinasi pilihan tanpa perlu membeli tiket baharu selagi gelang pengenalan masih dipakai.

Sabin (tengah, belakang), merakam gambar kenangan bersama anggota JAPEN Sabah, Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd (dua dari kiri, belakang) dan Puan Siti Mariam Aziz Rashid, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah.

“Laluan ini beroperasi dalam tiga sesi setiap hari iaitu pada jam 9.00 pagi, 12.00 tengah hari dan 3.00 petang. Jadual ini disusun bagi memastikan pergerakan penumpang lebih teratur serta membolehkan pelancong menikmati setiap hentian dengan selesa.

“Selain menjadi mod pengangkutan alternatif, HOHO turut berperanan mempromosikan warisan sejarah, budaya dan keindahan Kota Kinabalu. Penerangan audio dalam enam bahasa disediakan untuk membantu penumpang memahami antara lain latar belakang Menara Atkinson, perkembangan bandar serta keunikan pantai-pantai sekitar Likas dan Tanjung Aru,” katanya ketika ditemui semasa rakaman program FYI@JAPEN pada Rabu.

Menurutnya, perkhidmatan HOHO yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu menerima sambutan baik daripada pelancong, termasuk permintaan untuk menambah lokasi perhentian.

“Laluan yang melalui Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menyerlahkan kemajuan bandaraya sebagai destinasi persidangan bertaraf antarabangsa serta mengukuhkan potensi Kota Kinabalu sebagai hab pelancongan dan pembangunan moden.

Pemandangan panorama bandaraya Kota Kinabalu dari atas bas Hop-On Hop-Off.

“Antara cadangan yang diterima ialah penambahan laluan baharu, penyediaan tempahan khas untuk acara peribadi dan peluasan waktu operasi ke sebelah petang. DBKK bersama pengusaha bas sedang meneliti cadangan ini bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

“Penambahbaikan tersebut diharap dapat merancakkan lagi industri pelancongan dan memperkenalkan keindahan Kota Kinabalu kepada masyarakat tempatan serta pelancong antarabangsa,” jelasnya.

Untuk makluman, bas dua tingkat ini mempunyai 17 perhentian yang melibatkan kawasan tumpuan pelancong termasuk Masjid Bandaraya, Pantai Tanjung Aru, Pasar Kraftangan, Suria Sabah, Teluk Likas, Menara Atkinson, Muzium Sabah, Sabah Art Gallery dan Tanjung Aru Beach Hotel.

-RJ-

Tinggalkan komen anda