
Laporan/foto: Khairul Othman(IPN)
REMBAU, 22 Nov (MalaysiAktif) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini melancarkan Kampung Angkat MADANI melibatkan Kampung Chembong Batu 17A dan Kampung Air Hitam sebagai usaha merapatkan hubungan kementerian dengan masyarakat setempat.

Ucapan peluncuran oleh Ketua Setiausaha KESUMA.
Majlis berlangsung di Sekolah Kebangsaan Chembong dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof.
“Kampung Angkat MADANI KESUMA bukan sekadar program turun padang, tetapi komitmen kami memastikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti luar bandar berjalan seiring dengan agenda Malaysia MADANI. Kerjasama erat penduduk setempat menjadi kunci kejayaan program ini,” katanya.
Azman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu dalam menjayakan inisiatif ini.

Azman bersama penduduk kampung.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI membawa penambahbaikan infrastruktur seperti pembinaan susur gajah sekolah, pemasangan lampu solar, naik taraf dua balai raya serta baik pulih sembilan masjid dan surau.
Sekolah Kebangsaan Chembong turut menerima peruntukan RM100,000 untuk meningkatkan kemudahan dewan, makmal komputer dan tablet skrin sentuh.
Pelbagai pengisian komuniti diadakan termasuk rewang lemang dan rendang, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut percuma, servis tukar minyak hitam motosikal, pameran agensi, pertandingan mewarna, ceramah perdana serta cabutan bertuah.
-RI





