
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Bachok telah direkodkan sebagai daerah pertama di Kelantan dilanda banjir apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka lewat malam semalam, disusuli pembukaan PPS kedua pada pukul 3.33 petang hari ini.

Mohd Zaki menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan bantuan banjir di PPS SK Pauh Sembilan
Menurut laporan terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 148 penduduk daripada 46 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan, manakala 16 penduduk daripada 10 keluarga dipindahkan ke PPS SK Jelawat setakat pukul 4.00 petang.
Daripada jumlah keseluruhan itu, terdapat dua bayi lelaki, tiga bayi perempuan, sembilan warga emas dan dua Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut dipindahkan.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Siti Norina Muhamad serta Ketua Jajahan Bachok merangkap Ketua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, hadir meninjau keadaan dan menyantuni mangsa serta petugas di PPS SK Pauh Sembilan.

Pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas semua mangsa banjir yang ditempatkan di kedua-dua PPS.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini telah mengeluarkan ramalan awal banjir bagi tempoh 19 hingga 21 November, berikutan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan limpahan sungai di sembilan jajahan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
Paras air di dua sungai utama di negeri ini turut menunjukkan peningkatan ke tahap waspada berikutan cuaca hujan yang berlarutan sejak semalam.
-RI





