Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Sentuhan Komuniti Bestari@Perpustakaan Desa Pupuk Budaya Membaca

By 24 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Program Sentuhan Komuniti Bestari@Perpustakaan Desa Kampung Perlop 3, Sungai Siput, di sini kelmarin menjadi platform penting untuk menghubungkan komuniti dengan pelbagai agensi kerajaan selain memupuk budaya membaca.

Ariff Zaky (berbaju biru) menyempurnakan gimik perasmian program.

Menurut Penolong Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) Wirda Lisa@Hanim Dalina Mohd Arsad, program ini merupakan kesinambungan daripada peluncuran rasmi program sama yang telah disempurnakan di Dabong, Kelantan pada 12 dan 13 September lalu.

“Usaha ini diteruskan ke seluruh negara bagi memperkukuh budaya membaca, memperluas jaringan komuniti serta memperkasa peranan perpustakaan desa sebagai pusat komunti ilmu,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat dua jenis perpustakaan di negeri Perak yang mana kedua-duanya tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat negeri ini.

“Satu di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang mana pengurusannya di bawah PPANPk manakala satu lagi di bawah pengurusan Perpustakaan Negara Malaysia,” jelasnya.

Demonstrasi kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Sungai Siput Muhammad Ariff Zaky Datuk Mohd Zolkafly dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur yang memilih Perpustakaan Desa Kampung Perlop 3 untuk penganjuran program yang cukup bermakna itu.

“Tahniah dan syabas juga kepada penduduk khususnya yang sentiasa menyokong dan mengimarahkan program sebegini dengan penuh semangat.

“Besar harapan agar segala aktiviti merangsang minda seperti membaca ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, sekali gus merasmikan program.

Terdahulu, program berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi kebakaran, pertandingan Mobile Legends, pertandingan mewarna, cabutan bertuah serta Jualan Sejahtera Rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda