
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Polis daerah ini menyeru orang ramai untuk menjauhi aktiviti samseng jalanan.

Supt Mohd Zaidi merasmikan Program Kenduri Rhodong Bikers.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata komuniti bikers (penunggang motosikal) yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang permotoran boleh menggerakkan pelbagai aktiviti yang sihat, sekali gus menepis persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan lumba haram dan samseng jalanan.
“Disiplin diri amat penting. Patuhi had laju, gunakan peralatan perlindungan diri yang lengkap dan elakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya ketika berucap merasmikan Program Kenduri Rhodong Bikers, di sini, semalam.

Program Kenduri Rhodong Bikers berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta.
Ujarnya lagi, melalui program yang dianjurkan seperti ini dapat memperkukuhkan ukhwah sesama peminat sukan permotoran.
“Program berkonsepkan santai itu bukan sekadar medan pertemuan peminat motosikal, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah, mengeratkan hubungan bikers dengan pihak polis serta memupuk gaya hidup permotoran yang lebih berdisiplin dan beretika,” katanya.
Turut hadir Tengku Datuk Ashraf Tengku Datuk Seri Asmawi selaku penganjur bersama.
-RI





