
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan (Gua Musang)
GUA MUSANG, 25 Nov 2025 (MalaysiaAktif) – Program Tabletop Exercise melibatkan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang telah dilaksanakan bagi memastikan penyelarasan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025 berjalan lancar.

Sesi latihan ini diadakan bagi merancang persediaan menghadapi MTL.
Program tersebut memfokuskan kepada penilaian risiko, penyelarasan logistik, kesiapsiagaan aset dan tindakan segera sekiranya berlaku banjir atau kejadian tanah runtuh di kawasan berisiko tinggi sekitar daerah ini.
Ketua Jajahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mohd Roshdi Ismail berkata latihan tabletop (latihan kecemasan) amat penting bagi memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing.
“Cabaran utama sepanjang musim MTL melibatkan aspek pemindahan mangsa, kelancaran laluan penyelamat, keperluan aset tambahan dan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS).

Peserta program ketika sesi bergambar.
“Justeru, koordinasi antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malayisia (RELA) dan jabatan teknikal lain perlu sentiasa diperkukuh,” katanya pada program berkenaan di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Gua Musang, di sini semalam.
Taklimat kesiapsiagaan menghadapi MTL disampaikan Ketua Cawangan Pengurusan Bencana dan Operasi APM Negeri Kelantan Kapten (PA) Md Fadir Md Nor, yang turut menekankan keberkesanan sistem amaran awal, tahap kesiapsiagaan pasukan perubatan, pengurusan logistik bekalan, serta koordinasi penyampaian maklumat kepada penduduk melalui saluran rasmi kerajaan.
Latihan ini meningkatkan kecekapan tindak balas bencana, mempercepat proses membuat keputusan dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda apabila MTL mula melanda.
-RI





