
Laporan/foto: Memi Yusoff/Afiqq Rahman (Selangor)
SHAH ALAM, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Selangor mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh industri kreatif negeri dengan pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi bernilai RM20 bilion menjelang 2035.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan komprehensif itu dirangka untuk menempatkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau yang berdaya saing di peringkat global melalui pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu sepanjang 10 tahun akan datang.

Amirudin ketika berucap di Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
“Pelan ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan bagi memastikan pembangunan industri kreatif selari dengan identiti negeri,” katanya pada majlis pelancaran pelan berkenaan, di sini semalam.
Teras digital dan multimedia katanya merangkumi filem dan televisyen, kandungan digital, periklanan, kandungan imersif seperti AR/VR, seni reka, animasi dan permainan digital.
Sektor seni dan budaya pula meliputi seni kraftangan, penulisan kreatif, seni visual, fesyen dan tekstil, muzik, seni masakan serta persembahan.
Bagi warisan kebudayaan, fokusnya ialah muzium, arkib serta pemulihan dan pemuliharaan bahan warisan.
Amirudin berkata pelaksanaan pelan berkenaan disokong melalui pelbagai inisiatif termasuk pemerkasaan bakat, latihan, pembangunan pasaran dan penambahbaikan dasar bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif Selangor.

Amirudin melakukan gimik perasmian disaksikan Mohd Najwan dan Aiman Syafiq Nazri.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pelan itu diperkukuh melalui beberapa pemudah daya strategik seperti inkubator perusahaan kreatif, pembangunan studio dan hab kreatif, peluang eksport, latihan dan penggunaan teknologi digital.
Tambahnya, tonggak utama pelaksanaan ialah penubuhan Hab Kemajuan Ekonomi Kreatif Selangor (SEL-CREATE) di setiap daerah yang berperanan sebagai pusat rujukan bagi industri kreatif negeri.
“Hab ini akan menyediakan ruang acara, ruang kerja bersama, fasilitasi perniagaan, peluang pemasaran, program latihan, sokongan perundangan, kewangan dan teknologi. Ia bakal menjadi nadi pertumbuhan ekosistem kreatif Selangor.
“Saya menyeru pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan, korporat dan swasta untuk berganding bahu menjayakan agenda besar ini,” katanya.
-RI





