
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Johor berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, termasuk isu cuaca atau bencana banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin, berkata seramai 49,654 calon menduduki peperiksaan pada tahun ini di seluruh negeri, merangkumi pelajar sekolah kerajaan, swasta serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Aznan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mempunyai pelan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemnungkinan bencana banjir di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Alhamdulillah, setakat ini tiada sekolah atau calon di Johor yang terjejas akibat banjir. Semua pusat peperiksaan dibuka dan khususnya di SMK Sultan Ismail (SSI), kehadiran calon adalah lengkap,” katanya ketika melakukan tinjauan di sekolah berkenaan, di sini hari ini.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi kemungkinan banjir, Aznan memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mempunyai pelan kesiapsiagaan yang jelas.
“Setiap sekolah yang berpotensi dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau hanya berfungsi sebagai pusat peperiksaan akan diselaraskan dengan baik melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Kita berharap peperiksaan hingga 23 Disember ini dapat berjalan tanpa sebarang bencana,” katanya.

Kehadiran lengkap bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari pertama di SMK Sultan Ismail (SSI) hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa program Bantuan Makanan Tengah Hari Percuma untuk semua calon SPM di Johor bermula hari ini.
“Semua pelajar SPM di Johor akan menerima makanan percuma yang diselaraskan oleh PPD dan pihak sekolah, dengan edaran dijalankan pada waktu tengah hari bagi memastikan kebajikan calon sentiasa terjamin,” jelasnya.
Bantuan tersebut merupakan inisiatif tambahan Bantuan Pendidikan Johor yang diumumkan Menteri Besar Johor bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat pada 11 September lalu.
Turut hadir Ketua Penolong Kanan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor Noot Rahilme Mohamed Noor dan Pengetua SMK Sultan Ismail Suriyah Mohamed Lahir.
-RI





