
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Haimi Hariss (Pekan)
PEKAN, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar program perumahan rakyat di negeri Pahang terus diperkasa.

Datuk Mohd Fakharuddin dan Sultan Pahang melihat nama-nama penerima rumah Ru’RASA.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) melibatkan daerah Pekan, Kuantan dan Rompin, di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut, Baginda berkenan mengurniakan 26 unit rumah Ru’RASA, merangkumi dua unit bagi daerah Pekan dan masing-masing 12 unit di Kuantan serta Rompin.
Baginda kemudian berangkat melakukan lawatan tapak ke projek Ru’RASA Pekan yang terletak bersebelahan Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, Kampung Padang Polo bagi meninjau sendiri kualiti pembinaan dan keluasan unit kediaman.

Sultan Pahang bersama penerima rumah dan wakil khas kerajaan UAE.
Program Ru’RASA dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan sokongan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertujuan menyediakan perumahan mampu milik yang lengkap dan tahan lasak untuk rakyat memerlukan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang.
-RI





