Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Raja Perlis Kembali ke Sekolah Rendah Pertama, Rai 100 Tahun Legasi SK Wellesley

By 27 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor

GEORGE TOWN, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail berkenan mencemar duli ke sekolah rendah pertama baginda iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley sempena Sambutan 100 Tahun penubuhan sekolah berkenaan, di sini semalam.

Turut berkenan berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyampaikan sumbangan kepada murid SK Wellesley.

Kehadiran baginda bukan sahaja menjadi penghormatan tertinggi kepada warga sekolah, malah membangkitkan nostalgia indah zaman persekolahan baginda yang pastinya meninggalkan kesan mendalam.

Dalam titah ucapan, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan pesat institusi berkenaan sepanjang satu abad penubuhannya.

Mengimbau kembali pengalaman sewaktu bergelar pelajar di sekolah berkenaan, baginda turut menyuntik semangat kepada murid-murid agar menghargai ilmu dan berusaha gigih mencapai kecemerlangan.

Guru Besar K. Saravanan merakamkan penghargaan kepada Tuanku Syed Sirajuddin atas perkenan baginda menyempurnakan sambutan bersejarah itu.

Alumni dari pelbagai peringkat usia mengambil kesempatan menyemak buku senarai nama pelajar yang pernah diguna pakai suatu ketika dahulu.

“Sambutan hari ini menggambarkan perjalanan panjang sekolah kita, sebuah perjalanan yang penuh usaha, dedikasi dan sokongan padu daripada warga sekolah, ibu bapa serta alumni yang sentiasa setia bersama kami,” katanya.

Majlis diserikan dengan sesi ramah mesra antara Tuanku Syed Sirajuddin, warga sekolah serta alumni dengan para bekas pelajar berkongsi pengalaman dan kisah lama bersama rakan-rakan serta bekas guru di sekolah tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad, Pengarah Penang Port Datuk Seri Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza serta barisan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Wellesley.

-RI

Tinggalkan komen anda