Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

AKPS Tahan Dua Warga Myanmar, Sita Sebuah Kenderaan di BSI

By 30 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/AKPS Johor (Johor)

JOHOR BAHRU, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan dua lelaki warga Myanmar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) selepas didapati gagal mengemukakan dokumen sah ketika melalui pemeriksaan di laluan keluar kenderaan, di sini Khamis lepas.

AKPS dalam suatu kenyataan memamklumkan, anggota AKPS menahan sebuah kereta Proton Saga hitam dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang didapati pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) ketika pemeriksaan yang dijalankan pada 8 pagi itu.

“Turut berada dalam kenderaan tersebut ialah seorang penumpang lelaki berusia 28 tahun yang tidak memiliki sebarang pas atau dokumen sah berada di Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu terbabit ditahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membawa seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kenderaannya, manakala penumpang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama,” menurut kenyataan itu.

Kenderaan yang digunakan turut disita mengikut peruntukan Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63.

AKPS dalam kenyataan sama menasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika membawa warga asing menaiki kenderaan masing-masing bagi mengelakkan risiko terlibat dalam kes membawa PATI.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1), pemandu boleh dikenakan denda minimum RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap PATI yang dibawa, serta kenderaan yang disita juga boleh dilucut hak oleh mahkamah.

-FN

Tinggalkan komen anda