
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Maharani Energy Gateway (Johor)
MUAR, 30 Nov (MalaysiaAktif) — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melancarkan Maharani Freeport, pelabuhan bebas cukai tenaga pertama di Malaysia sekali gus menandakan kemunculan sebuah hab tenaga dan perkhidmatan maritim baharu negara di Selat Melaka, di sini semalam.

Maharani Freeport, pelabuhan bebas cukai tenaga pertama negara dan bakal hab laut dalam serta perkhidmatan maritim Malaysia, dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Tanjung Emas, semalam.
Pengerusi Eksekutif MEG Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman berkata projek itu menjadi titik perubahan penting bagi Muar dan Johor.
“Maharani Freeport ialah projek berwawasan yang akan meningkatkan taraf hidup, membuka peluang baharu dan mengukuhkan peranan Johor sebagai pemacu masa depan ekonomi Malaysia.
“Projek ini berpotensi melahirkan ratusan syarikat bernilai tinggi serta mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung, sekali gus merancakkan pertumbuhan sektor logistik, pembaikan kapal, pembinaan dan perkhidmatan tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut di Tanjung Emas.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi pelabuhan tersebut telah bermula.

Terletak dalam kawasan Pelabuhan Muar di Selat Melaka, laluan penghantaran minyak tersibuk dunia, Maharani Freeport meletakkan Malaysia setanding dengan pelabuhan bebas tenaga antarabangsa.
“Ia bukan sekadar visi masa depan. Maharani Freeport kini sudah menjalankan aktiviti perdagangan minyak, penyimpanan, pemindahan kapal ke kapal, pencampuran, bunkering, perkhidmatan marin, operasi pelabuhan laut dalam serta penggunaan unit simpanan terapung bagi pelanggan dan rakan kongsi kami,” katanya.
Terletak dalam kawasan Pelabuhan Muar, pelabuhan laut dalam yang dibangunkan sepenuhnya oleh MEG itu diiktiraf sebagai projek nasional dengan sokongan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor.
Berkedudukan di salah satu laluan penghantaran minyak tersibuk dunia, Maharani Freeport mampu menyamai pelabuhan bebas tenaga antarabangsa dan dijangka menarik pelaburan sehingga RM144 bilion, sekali gus memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan negara.
-FN





