
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Marang)
MARANG, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Lebih 3,000 pengunjung membanjiri perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang sempena Fiesta Sinergi 360° Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama rakan strategik yang berlangsung meriah seawal pukul 8.00 pagi, kelmarin.
Program anjuran PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat itu mengetengahkan pelbagai acara interaktif serta pendidikan keselamatan, menjadikan suasana pesta hidup dengan kehadiran masyarakat pelbagai peringkat umur.

Ketua Polis Daerah Marang, berkata Program Fiesta Sinergi 360° merupakan wadah untuk mendekatkan PDRM dengan rakyat,
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Haji Redzuan, berkata penganjuran Fiesta Sinergi 360° merupakan wadah untuk mendekatkan PDRM dengan rakyat.
“Program ini bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama antara PDRM dan masyarakat dalam usaha mencegah jenayah serta menjaga ketenteraman awam. Ia juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu keselamatan, undang-undang dan peranan PDRM,” jelasnya.
Aktiviti utama yang mencuri tumpuan ialah pertandingan explorace (penerokaan) pelajar sekolah rendah, pertandingan mewarna kanak-kanak tabika dan pra-sekolah, serta pertandingan memasak komuniti ‘Dapo Kita – Rasa Terbaik Dunia’ yang dikendalikan oleh Chef Selebriti Fazley Yaakob.

Pameran oleh agensi-agensi kerajaan menarik perhatian ramai pengunjung.
Turut menyerikan pesta ialah pertandingan e-sukan, pertandingan strongest man (lelaki terkuat), Jualan Rahmah MADANI, pameran agensi kerajaan dan swasta, jualan produk tempatan, jualan trak makanan serta kaunter pengurangan saman trafik sebanyak 70 peratus yang menerima sambutan luar biasa.
Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Alya Shahira Majery, 22, berkata suasana hujan tidak mematahkan semangat mereka untuk turut serta.
“Walaupun hujan, sambutan dalam semua aktiviti dan pertandingan tetap meriah dan memberi pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.
-RI





