
Laporan/foto: Adawiyah Othman (Marang)
MARANG, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Pertandingan melukis kanak-kanak mencuri tumpuan apabila peserta daripada pra sekolah, Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan tampil dengan pendekatan moden dan futuristik, melukis sepenuhnya menggunakan iPad.

Aplikasi Keynote yang boleh divariasikan daripada persembahan slaid kepada mewarna dan melukis.
Inisiatif tersebut memperkenalkan teknik melukis dan mewarna digital melalui aplikasi Keynote, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pendidikan seni awal kanak-kanak dan memberi pengalaman kreatif yang lebih interaktif.
Pegawai Pendidikan Daerah Kamarulzaman Ismail, berkata jika sebelum ini Keynote hanya dikenali sebagai aplikasi persembahan slaid, kali ini ia berubah menjadi kanvas digital yang membolehkan kanak-kanak menghasilkan karya seolah-olah melukis di atas kertas, namun dengan cara yang lebih menyeronokkan, bersih dan tanpa kekangan alat tulis.
“Kita masih dalam fasa berkenalan memandangkan aplikasi ini masih baru dan belum dipraktikkan di sekolah-sekolah,” katanya ketika meninjau pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak pra sekolah dan Tabika di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang (IPD), kelmarin.

Guru Pra Sekolah bersama pasukan Pejabat Pendidikan Daerah menerangkan cara pendekatan moden dan futuristik, melukis sepenuhnya menggunakan iPad.
Penggunaan fitur seperti layers, bayang-bayang, dan garisan dinamik dalam Keynote membuktikan keupayaannya sebagai alat seni intuitif yang memperkasa imaginasi murid kecil. Lakaran mudah kini boleh diolah menjadi ilustrasi unik, berwarna-warni dan lebih bertenaga, melangkaui batasan lukisan tradisional.
Pengalaman menghasilkan karya digital ini bukan sahaja meninggalkan kenangan bermakna kepada para peserta, malah menjadi langkah awal merintis pembangunan kurikulum seni digital pra sekolah. Inovasi sebegini diyakini dapat menyemai minat serta kemahiran teknologi sejak usia muda, seiring perkembangan dunia pendidikan masa kini.
-RI





