Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sultan Selangor Berkenan Rasmi Pesta Buku Antarabangsa Selangor

By 30 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini kelmarin.

Ketibaan baginda ke SIBF diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan disambut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Baginda turut berkenan melancarkan buku The Mysterious & Magical World Of Fireflies, Kampung Kuantan, Kuala Selangor serta menandatangani karya Embon Abdullah tersebut sebagai simbolik perasmian.

Sempena majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan plak penghargaan Selangor International Fellowship Programme kepada wakil 11 negara iaitu Kazakhstan, Uzbekistan, Azerbaijan, Kyrgyzstan, Luxembourg, Ghana, Mongolia, Thailand, China, Korea Selatan dan Iran.

Mastura dalam ucapannya berkata SIBF 2025 menerima penyertaan 14 negara dengan empat penceramah forum antarabangsa dan 12 felow, termasuk Pengarah Eksekutif Sharjah House of Wisdom Marwa Al Aqroubi serta Ketua Pegawai Eksekutif Nami Island Arts and Education Incorporated merangkap Ahli Lembaga Amanah International Board on Books for Young People (IBBY) Fred Minn.

“Tahun ini adalah penganjuran pertama Bengkel Duta yang telah berlangsung semalam di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam serta Forum Antarabangsa Selangor.

“Guangdong, China menyertai pesta buku ini buat kali kedua sebagai Negara Fokus dan Rakan Pesta Buku, manakala Tamil Nadu, India yang telah mengundang kami ke Pesta Buku Antarabangsa Chennai 2024 turut menjadi Negara Fokus,” katanya.

SIBF 2025 dianjurkan selama 10 hari bermula Jumaat hingga 7 Disember dan menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian bersama penulis, program kanak-kanak, bengkel kreatif, diskusi ilmiah, serta tawaran buku pada harga istimewa.

Pesta buku tahunan anjuran PPAS ini menghimpunkan penerbit, penulis, pempamer, dan penggiat industri buku dari dalam dan luar negara sebagai medan perkongsian ilmu serta akses kepada bahan bacaan berkualiti untuk seluruh masyarakat.

-FN

Tinggalkan komen anda