Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tindakan Pantas Agensi Daerah Hulu Langat Lancarkan Calon SPM ke Pusat Peperiksaan

By 4 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Mohamad Syafiq Mohamad Saleh (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 4 Dis (MalaysiaAktif) – “Tindakan pantas oleh beberapa jabatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta bantuan kenderaan sukarelawan berjaya membawa kesemua pelajar ke Pusat Peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil,” kata Ketua Kampung Sungai Lui Ramadan Kamso.

Calon-calon SPM menanti bantuan kenderaan jabatan untuk membawa mereka ke Pusat Peperiksaan.

Menurutnya, pada pukul 6.00 pagi banjir kilat menyebabkan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kampung itu terkandas dan memerlukan bantuan kecemasan untuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan.

“Seramai 50 calon SPM, termasuk 15 pelajar Orang Asli, telah dikumpulkan di beberapa lokasi seperti Balai Raya Pekan Batu 18, Masjid Dusun Tua, Masjid Sungai Tekali serta beberapa tempat lain sementara menunggu ketibaan kenderaan bantuan,” katanya.

Hujan lebat yang bermula sekitar pukul 9.00 malam semalam telah mengakibatkan banjir kilat di Sungai Serai, Batu 18 Hulu Langat dan Dusun Tua.

Keadaan banjir di Taman Indah Jaya, Jalan Sungai Tekali sekitar pukul 7:00 pagi tadi.

Penghulu Mukim Hulu Langat Norezudin Kamaruddin, berkata ibu bapa serta calon SPM terlibat menyampaikan penghargaan atas tindakan pantas semua pihak yang menerima maklumat awal daripada ketua kampung.

“Koordinasi yang baik ini membuktikan wujudnya hubungan erat antara kepimpinan di peringkat kampung dan jabatan-jabatan di peringkat daerah.

“Kerjasama erat dan persefahaman di antara pemimpin masyarakat dan ketua jabatan perlu sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan sebarang bentuk bantuan dapat digerakkan dan disalurkan dengan lancar,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda