
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PPD Hilir Perak
TELUK INTAN, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.
Pegawai Pendidikan Daerah Shamsuddin Tajul Urus, berkata PPD berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi apabila kalendar mula memasuki episod Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 bermula 13 November lalu.

Guru bertugas memberi sokongan ketika SST dan AST dilaksanakan.
“Setiap sekolah dan pelajar yang terjejas banjir dibekalkan bahan manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Guru-guru juga ditugaskan secara bergilir ke PPS untuk melaksanakan SST sebagai usaha memberi sokongan emosi melalui aktiviti yang dapat mengembalikan keceriaan murid-murid yang terkesan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak melancarkan inisiatif pasukan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di kesemua sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di sekitar daerah ini.
Tambahnya, inisiatif AST turut diberikan oleh guru bertugas dalam memberi bimbingan dan sokongan untuk pelajar menyiapkan tugasan yang diberi sepanjang PdPR berlangsung.

SMK Abdul Rahman Talib antara sekolah yang ditutup sepenuhnya akibat banjir.
“Selain itu, calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di seluruh daerah ini ditempatkan di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan masalah pengangkutan calon ketika banjir, ketinggalan, lewat dan sebagainya.
“Kesemua lebih 60 pelajar tersebut dibenarkan untuk menduduki SPM di sekolah berkenaan,” katanya.
Setakat ini, Hilir Perak merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,398 orang membabitkan 413 keluarga yang ditempatkan di sembilan buah PPS.
-RI





