Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rumah Hiasan Krismas di Sabah Jadi Tumpuan

By 9 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Penampang)

PENAMPANG, 09 Dis (MalaysiaAktif) – Menjelang Krismas, sebuah keluarga di Penampang menarik perhatian orang ramai apabila dekorasi meriah di kediaman mereka mencuri tumpuan pengunjung yang ingin merasai suasana perayaan penuh keajaiban.

Angelo bersama dekorasi keluarganya ketika ditemui di kediamannya di Penampang.

Pemilik rumah, Angelo Ivan Tann, 22, berkata ilham menghias rumah dengan begitu meriah tercetus daripada minat dan kreativiti setiap ahli keluarga.

“Setiap orang dalam keluarga ada idea sendiri, jadi kami satukan semua idea itu dan terhasillah dekorasi bertema Krismas ini.

“Ia sebenarnya bermula secara suka-suka sejak tahun lalu, sekitar November tahun lepas. Disebabkan sambutannya sangat baik, kami teruskan lagi tahun ini dengan dekorasi yang lebih besar, meriah dan kreatif,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Isnin.

Sebahagian daripada dekorasi meriah yang menceriakan kediaman tersebut.

Menurut Angelo kebanyakan hiasan diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Sabah, manakala semua kerja pemasangan dilakukan sepenuhnya oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang mula membantu sejak awal bulan lepas.

Beliau turut meluahkan rasa gembira apabila ramai pengunjung hadir untuk melihat sendiri keindahan dekorasi tersebut.

“Saya sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa daripada orang ramai dan gembira dapat berkongsi kegembiraan menjelang Krismas ini. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir kami membuat dekorasi sebesar ini,” katanya.

Lily (kanan) bersama keluarganya ketika berkunjung ke rumah yang dihias dengan dekorasi Krismas.

Sementara itu, seorang pengunjung, Lily Kuyun, 39, berkata beliau datang bersama keluarga selepas melihat dekorasi tular itu di media sosial.

“Memang sangat menyeronokkan. Anak-anak pun teruja melihat dekorasi ini secara dekat. Pemilik rumah pun sangat ramah, dan saya doakan mereka dimurahkan rezeki.

“Ini satu berkat kerana tidak semua mampu menghasilkan dekorasi sebegini untuk dikongsi dengan orang ramai terutamanya kanak-kanak,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda