
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 12 Dis (MalaysiaAktif) – Pengumuman kerajaan negeri Melaka yang akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 akhir bulan ini disifatkan membantu mengurangkan beban kos sara hidup penjawat awam negeri itu.

Mohd Wira bersyukur dan rasa dihargai dengan pemberian BKK kepada penjawat awam negeri Melaka.
Penjawat awam Mohd Wira Sabtu, 45, berkata pengumuman itu juga tentunya akan meningkatkan motivasi kumpulan pekerja berkenaan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
“Saya menyambut baik pengumuman berkenaan dan menyifatkannya sebagai suntikan semangat kepada warga perkhidmatan.
“Ia menunjukkan kerajaan negeri menghargai usaha kami di lapangan, BKK ini sekurang-kurangnya dapat ringankan sedikit perbelanjaan keluarga hujung tahun,” katanya ketika ditemu bual di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) kawasan Durian Tunggal, di sini semalam.
Beliau turut berharap insentif seperti itu dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara selaras dengan tanggungjawab yang digalas mereka.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 mengumumkan seramai 5,200 penjawat awam negeri itu akan menerima bayaran BKK setengah bulan gaji atau minimum RM2,000, yang dijangka dibayar pada akhir bulan ini.
Insentif itu yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM11.379 juta turut menjadikan seramai 1,153 penjawat awam negeri menerima lebih daripada sebulan gaji, termasuk 631 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
-RI





