
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Setiausaha Akhbar Kementerian
SIPITANG, 14 Dis (MalaysiaAktif) – Mini Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual di Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sipitang akan menjadi fasiliti pertama seumpanya dibina di Sabah.
Dibangunkan oleh E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd, projek strategik dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM1 bilion, fasiliti itu bakal menjana sekitar 270 peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata fasiliti berkenaan juga dilihat berupaya untuk menyokong pertumbuhan industri secara mampan, selamat dan berdaya saing.

Ewon mendengar taklimat ringkas daripada pihak E-Concern mengenai pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual pertama di Sabah, pada majlis itu.
“Pembinaan fasiliti ini selari dengan wawasan Sabah First yang saya perkenalkan di kementerian, iaitu membangunkan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan sama ada sebagai pemilik perusahaan atau sebagai tenaga kerja kepada sektor industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Mini Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual, di sini pada Sabtu.
Merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon berkata fasiliti pengurusan sisa terjadual itu merupakan keperluan kritikal bagi menyokong pertumbuhan industri khususnya apabila pengurusan buangan terjadual kelak diambil alih oleh kerajaan negeri.
“Antara manfaat utama projek ini termasuk mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar Sabah, menurunkan kos logistik, memastikan pematuhan piawaian alam sekitar, mengurangkan risiko pencemaran serta menarik pelaburan baharu ke SOGIP, KKIP dan POIC.
“Kementerian juga komited memperkukuh ekosistem pelaburan sejajar aspirasi Sabah Maju Jaya melalui tiga tumpuan utama, iaitu meningkatkan keyakinan pelabur menerusi dasar jelas dan penyelarasan agensi yang cekap; memperkasa usahawan tempatan agar menyertai rantaian bekalan pelabur; serta memantapkan ekosistem logistik dan pengangkutan termasuk keupayaan pelabuhan, kemudahan industri dan utiliti sokongan,” katanya.
Mengulas prestasi pelaburan, Ewon berkata berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam tempoh lima tahun antara September 2020 hingga September lepas, sektor pembuatan di Sabah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM24.98 bilion.
“Ia merangkumi RM19.55 bilion pelaburan asing (FDI) dan RM5.43 bilion pelaburan domestik (DDI), melibatkan 91 projek serta mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu.
“SOGIP terus muncul sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri negeri dengan kemasukan pelaburan besar daripada syarikat seperti Esteel Enterprise Sabah, PETRONAS dan E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd., sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sabah,” katanya.
-RJ-





