
Oleh Mahazir Abu Hassan
BALING, 20 September (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya Jabatan Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti bekerjasama menganjurkan program Jelajah UPU – Outreach 1Dream2U Daerah Baling.
Program ini bertujuan menyebarluas peluang pendidikan tinggi di Univesiti Awam, pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang ditawarkan di Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta kemudahan pembiayaan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.
Berucap semasa merasmikan program ini, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (UPU), Mazula binti Sabudin berkata, ini merupakan usaha untuk membantu mencerahkan masa depan para pelajar di Daerah Baling.
Menurut beliau, dengan cara ini mereka akan lebih maklum tentang bidang yang harus diterokai, khususnya bagi pelajar tingkatan tiga, empat, lima dan enam setelah tamat belajar untuk menyambung ke pusat-pusat pengajian tinggi.
“Pelajar dan guru-guru kaunseling harus mengambil peluang ini untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat universiti dan pusat-pusat latihan supaya mudah untuk pelajar memilih pusat pengajian yang sesuai setelah tamat persekolahan ,” ujarnya.
Bersempena program ini turut diadakan mini karnival, forum, taklimat, lawatan bantuan (outreach trip), sukarelawan bantuan bagi mendedahkan pelajar sekolah menengah di daerah Baling memohon kemasukan ke Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA melalui permohanan dalam talian.
Turut hadir pada Program ini, termasuk Pengarah Kolej Komuniti Baling, Sobah binti Abdul Hamid, dan Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Baling/Sik Haji Hambali bin Bakar.