
Oleh Norhayani Hashim dan Ariza Mohamed Zaki
KEPALA BATAS, 21 September – Setiap kali motosikalnya melewati jalan-jalan sekitar Kepala Batas, pasti ramai yang tertarik kerana hiasan pelik yang terdapat pada kenderaan tersebut.
Apa tidaknya? Motosikal ‘pelik’ milik Kamaruddin Salleh, 65, ini dihiasi motif haiwan, seperti harimau bintang, burung helang, ular tedung selar, biawak, katak dan gajah.
Bapa kepada tiga orang anak ini memiliki tiga buah motosikal yang masing-masing sarat dihiasai pelbagai imej haiwan.
Salah sebuah motosikal jenis skuter berjenama ‘Mosquito’ yang dibeli pada 2005 dan diubahsuai dan dihiasai menggunakan tema safari.
Menurut Kamarudin, 65, setiap motosikalnya dipadankan dengan topi keledar tersendiri. Semua hiasan dibuat sendiri menggunakan kaca serat (fibreglass), manakala untuk mengecat pula, Kamarudin mengupah seorang kawan yang memiliki kedai mengecat di Permatang Tok Jaya di sini.
Beliau memberitahu Malaysiaaktif bahawa beliau menghias motosikalnya sebegitu rupa kerana inginkan kelainan.
Justeru, bersama kelainan itu, beliau menyertai ‘Freedomeye Club’, iaitu sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi berdaftar yang berpangkalan di Sungai Petani.
Motosikal ‘Mosquito’ milik bekas pemandu kren Penang Port ini diubahsuai dan ditambah bateri kereta Perodua Kancil untuk menyokong bekalan kuasa pada sistem audio yang turut dipasang. Perkakasan audio itu membolehkan muzik dimainkan menerusi pemacu pena (pendrive). Motorsikal tersebut juga dilengkapi penggera yang mengeluarkan bunyi seperti bunyi haiwan dan bunyi-bunyi lain. Selain itu ia juga dilengkapi kotak pembesar suara kalis air.
Sebuah lagi motosikal Kamarudin adalah jenis Kawasaki Vulcan 500 yang dibeli pada 2007 dan diubahsuai pada 2010. Dia membelanjakan kira-kira RM5,500.00 untuk mengubahsuai motosikal ini.
Kenderaan yang dihiasi replika harimau belang, katak, ular sawa, penyu, dan tangan yang memegang tali kerbau serta kupu-kupu ini sebenarnya menghayati beberapa peribahasa Melayu.
Replika harimau belang bermaksud ‘harimau mati meninggalkan belang’, katak bermaksud ‘bagaikan katak di bawah tempurung’, ular sawa bermaksud ‘ibarat kenyang seperti ular sawa’, penyu merujuk kepada ikut resmi penyu, jangan ikut resmi ayam, ‘telur beratus tapi diam’, tangan memegang tali kerbau bermaksud ‘manusia dipegang pada janji’ dan kupu-kupu bermaksud ibarat ‘kupu-kupu malam.’
Dalam pada itu, Motosikal Modenas Jaguh 175 cc dihias mengikut tema kucing hutan. Walau bagaimanapun Kamarudin tidak meletakkan sebarang arca pada motosikal ini dan sekadar mengecatnya mengikut corak bulu kucing hutan. Kesemua replika dipasang lampu LED.