Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

JKDM Johor Patahkan Sindiket Dadah Kurier ke United Kingdom

By 19 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JKDM Johor 

JOHOR BAHRU, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja seberat 13.04 kilogram (kg) ke United Kingdom (UK) menerusi perkhidmatan kurier di Senai, bulan lepas.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan dianggarkan bernilai RM1,278,214 itu hasil pemeriksaan di sebuah pusat kurier pada 26 Nov lalu menerusi maklumat oleh Cawangan Narkotik ibu pejabat JKDM.

Beliau berkata pemeriksaan rapi ke atas dua kotak bungkusan membawa kepada penemuan 24 bungkusan plastik berisi bahan disyaki bunga ganja yang dialamatkan untuk pasaran luar negara.

Aminul Izmeer menunjukkan gambar dadah jenis bunga ganja yang dirampas JKDM Johor daripada sindiket pengedaran dadah menggunakan pusat kurier.

“Susulan rampasan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun telah ditahan dan dituduh di Mahkamah Majistret Kulai di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Menara Kastam, di sini semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada 19 Nov, Aminul Izmeer berkata pihaknya turut menumpaskan aktiviti pengedaran dadah melalui pusat mel di sekitar bandar raya ini yang membawa kepada penemuan 135 gram bunga ganja bernilai RM14,112.

“Bertindak atas maklumat bungkusan mencurigakan, pasukan penguat kuasa melakukan penjejakan sehingga ke sebuah apartmen di Johor Bahru dan menahan seorang lelaki warga asing.

“Suspek warga Filipina berusia 23 tahun telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini pada 25 Nov mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A(2) akta yang sama,” katanya.

Mengulas mengenai modus operandi, beliau berkata sindiket dikesan menggunakan perkhidmatan kurier bagi aktiviti import dan eksport dadah berbahaya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 dan memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

-RI

Tinggalkan komen anda