Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Sasar 12 Juta Pelancong, Raih RM42 Bilion Sempena Tahun Melawat Johor 2026

By 1 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 1 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Johor hari ini melancarkan kempen Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026) secara besar-besaran dengan sasaran ketibaan 12 juta pelancong serta unjuran pendapatan mencecah RM42 bilion.

Tahun Melawat Johor 2026 dijangka meningkatkan ketibaan pelancong, peluang pekerjaan dan ekonomi negeri seiring sasaran 43 juta pelawat Tahun Melawat Malaysia 2026

Pelaksanaan kempen itu bermula serentak dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menyaksikan majlis sambutan istimewa meraikan pelancong domestik dan antarabangsa di 13 pintu masuk utama negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata sambutan mesra di pintu masuk utama termasuk pemberian cenderahati daripada Tourism Johor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), merupakan langkah awal bagi menunjukkan hospitaliti Johor kepada dunia.

“Melihat kepada aliran ketibaan pelancong dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Australia, India dan Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pagi ini, saya yakin sasaran 12 juta pelancong mampu dicapai.

Ketibaan pelawat terawal disambut dengan persembahan zapin, paluan kompang serta edaran beg cenderahati berisi makanan tradisional Johor

“Ini adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan TMJ2026 mencapai kejayaan yang impak positifnya akan dirasai terus oleh rakyat,” katanya ketika ditemui semasa acara sambutan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa TMJ2026 merupakan manifestasi komitmen semua pihak dalam memartabatkan keunikan budaya, warisan, dan pengalaman pelancongan Johor.

Menurut beliau, kempen ini bukan sekadar aktiviti promosi, malah ia berperanan sebagai pemangkin ekonomi negeri yang akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh imej Johor sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau ini.

“Penganjuran TMJ2026 dijangka memberi manfaat signifikan kepada komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti ekonomi dalam sektor perhotelan, peruncitan, dan perkhidmatan, sekali gus meletakkan Johor di peta pelancongan global yang lebih kompetitif,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda