
Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)/KPDN Pahang
KUANTAN, 6 Jan (MalaysiaAktif) – Sebanyak 50 siri Program Jualan RAHMAH MADANI: Kembali ke Sekolah (PJRM KKS) dilaksanakan di seluruh Pahang bagi membantu ibu bapa dan penjaga membuat persediaan persekolahan anak-anak pada kos yang lebih rendah.

Dr. Fuziah beramah mesra dengan salah seorang penerima sumbangan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata pelaksanaan PJRM KKS dilaksanakan secara bertema oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 18 Dis lepas sehingga 11 Jan ini sebagai langkah bersasar kerajaan menangani kos sara hidup menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
“Di negeri Pahang, pendekatan pelaksanaan PJRM KKS memberi tumpuan kepada keperluan sebenar persekolahan melalui penglibatan pembekal utama alat tulis sebagai rakan strategik.
“Barangan seperti alat tulis, pensel warna dan kalkulator ditawarkan pada harga yang lebih rendah, selari dengan keperluan semasa ibu bapa dan pelajar,” katanya sewaktu merasmikan PJRM KKS, di sini kelmarin.

Dr. Fuziah amat teruja dapat menyampaikan sumbangan kepada pelajar.
Beliau berkata sumbangan itu disalurkan dalam bentuk baucar bernilai RM100 kepada setiap pelajar terpilih.
“Secara keseluruhan, PJRM merupakan inisiatif utama kerajaan sebagai mekanisme intervensi harga dengan pengurangan antara 10 hingga 30 peratus, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan keterangkuman ekonomi,” katanya.
-RI





