Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

30 Anak Yatim Sik Terima Sumbangan Persekolahan

By 7 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 7 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 30 orang anak yatim di sekitar daerah Sik menerima kurniaan dan sumbangan persekolahan daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) bagi sesi 2026.

Che Puan Besar Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun berkenan mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar sekolah rendah dan 10 pelajar sekolah menengah yang merangkumi set pakaian seragam sekolah, beg sekolah, hamper barangan keperluan dan sumbangan wang tunai di Dewan Anggerik, Sik Inn, di sini kelmarin.

Pengurniaan Sumbangan Persekolahan Sesi 2026 YAYSH oleh Tuanku Hajah Haminah.

Program tahunan tersebut bertujuan menyokong kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim, sekali gus memastikan golongan itu mendapat perhatian sewajarnya menjelang pembukaan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada minggu hadapan.

Pegawai Daerah Sik Faisal Rizal Mohammad dalam ucapan aluannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yayasan, khususnya kepada Tuanku Hajah Haminah atas keprihatinan yang berterusan terhadap kebajikan anak-anak yatim di daerah tersebut.

“Kurniaan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan yang akan bermula pada minggu hadapan.

“Pada masa sama, ia diharap dapat memberi motivasi kepada para pelajar untuk kembali ke sekolah dan menyambung pelajaran dengan lebih bersemangat,” katanya.

Inisiatif murni itu bukan sekadar bantuan material, malah mencerminkan komitmen institusi diraja dan yayasan dalam memperkasakan pendidikan anak-anak yatim agar mereka tidak merasa terpinggir dalam mengejar kecemerlangan akademik dan masa depan yang lebih cerah.

-RI

Tinggalkan komen anda