Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Langkah Kasih Usaha Berterusan Perkasa Ahli PUSPANITA

By 7 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)/PUSPANITA Kebangsaan – RASMI

ALOR SETAR, 7 Jan (MalaysiaAktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kebangsaan memulakan jelajah Program Langkah Kasih Siri Pertama bagi tahun ini di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam sebagai usaha berterusan memperkasa ahli serta menyemai nilai murni dan budaya saling membantu dalam kalangan warga.

Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan Puan Sri Maheran Jamil berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan pemantapan sahsiah ahli melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti berimpak.

Ucapan dan amanat disampaikan oleh Puan Sri Maheran Jamil

Menurutnya, inisiatif Program Langkah Kasih mula digerakkan tahun lepas dengan matlamat menyemai nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli agar menjadi panduan dalam setiap langkah serta pembuatan keputusan.

“Kedah dipilih sebagai negeri pertama untuk disantuni pada tahun ini dan kelainan turut dibawakan apabila anak-anak ahli yang masih bersekolah turut diberi perhatian.

“Diharapkan sumbangan yang disampaikan ini dapat menceriakan anak-anak dan ibu-ibu ahli PUSPANITA dalam menyambut sesi persekolahan baharu,” katanya ketika ditemui semalam.

Antara pelajar sekolah rendah yang terpilih menerima sumbangan Kembali ke Sekolah 2026.

Dalam majlis tersebut, seramai 200 orang anak ahli PUSPANITA yang terpilih menerima bantuan awal persekolahan menerusi pelaksanaan Program Kembali ke Sekolah sebagai sokongan kepada persediaan pendidikan anak-anak ahli bagi sesi persekolahan 2026.

Program berkenaan turut menghimpunkan kira-kira 800 orang ahli PUSPANITA dari pelbagai daerah dan jabatan di seluruh Kedah sekali gus menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama serta ukhuwah dalam kalangan ahli.

Turut hadir Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Datin Seri Norhasni Ishak, Timbalan Pengerusi Datin Nurul Aznim Mohd Razalli, Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah serta warga kerja PUSPANITA Kebangsaan.

-RI

Tinggalkan komen anda