Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pewartaan Semula RPT Bekas Perajurit Bidor Tamatkan Penantian 40 Tahun

By 13 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suriani Ghazali (Perak)/Megat

BIDOR, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak menoktahkan kekeliruan identiti penduduk di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bekas Perajurit Bidor apabila meluluskan penggunaan nama gandingan kawasan tersebut yang telah tertangguh sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata kawasan tersebut kini secara rasmi dikenali dengan nama gandingan RPT Bekas Perajurit Bidor @ Taman Sri Bidor.

Sandrea sempat menyaksikan papan tanda RPT Bekas Perajurit yang dirasmikan pada 9 April 1988 oleh Pegawai Daerah Batang Padang pada ketika itu.

“Isu penamaan ini bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan penduduk sejak sekian lama kerana nama asal RPT Bekas Perajurit membawa nilai sejarah, identiti serta pengiktirafan khusus kepada komuniti veteran.

“Hasil kerjasama semua pihak, satu penyelesaian bersifat menang-menang telah dimuktamadkan melalui kelulusan Mesyuarat Penuh Ahli Majlis bagi menyelaras urusan pentadbiran dan dokumentasi penduduk,” katanya ketika ditemui pada Program Pewartaan Semula RPT tersebut, di sini semalam.

Menurut Sandrea kawasan tersebut merupakan tanah kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1987 sebelum dibangunkan sebagai skim perumahan pada awal 1990-an.

“Perbezaan penggunaan nama timbul selepas tahun 1994 apabila nama Taman Sri Bidor digunakan dalam urusan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala hak milik tanah masih menggunakan nama RPT Bekas Perajurit Bidor. Ini menimbulkan kekeliruan dalam urusan alamat, cukai dan utiliti,” jelasnya.

Dalam pada itu, rata-rata veteran ATM yang hadir melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri yang menghargai jasa dan pengorbanan mereka sebagai pejuang tanah air.

-AA-

Tinggalkan komen anda