Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Negeri Sembilan Umum BKK RM300, Tekankan Integriti dan Kecekapan Perkhidmatan

By 13 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Khairul Nizam

SEREMBAN, 13 Jan (MalaysiAktif) – Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM300 kepada kakitangan kerajaan persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.

Aminuddin Harun ketika menyampaikan amanat

Beliau berkata pengumuman itu adalah sebagai suntikan semangat dan penghargaan kerajaan negeri kepada kumpulan pekerja berkenaan.

Beliau pada sama turut menyeru agar penjawat awam Negeri Sembilan terus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap inisiatif kerajaan negeri memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Seruan ini selari dengan prestasi kewangan negeri yang memberangsangkan apabila kutipan hasil berjumlah RM785.2 juta sehingga 31 Dis 2025, bersamaan 203.25 peratus daripada sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2026 di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini hari ini.

Aminuddin berkata pencapaian itu membuktikan tahap integriti dan profesionalisme penjawat awam berada pada tahap membanggakan, sekali gus membolehkan negeri mencatat lebihan kewangan selama empat tahun berturut-turut serta memperoleh Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2017.

Antara penjawat awam persekutuan dan negeri yang hadir

“Dalam konteks pentadbiran negeri, apabila top to bottom dan bottom to top bergerak seiring, kita bukan sahaja dapat mempercepat pelaksanaan dasar malah dapat memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Integriti menyeluruh, kecekapan perkhidmatan dan khidmat yang dirasai rakyat mesti menjadi ukuran kejayaan sebenar pentadbiran negeri,” katanya selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membentuk perkhidmatan awam yang cekap, beramanah dan berteraskan kepentingan rakyat.

-AA-

Tinggalkan komen anda