Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Semarak Kasih Santuni Masyarakat Pedalaman Pensiangan dan Pagalungan

By 15 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Program Semarak Kasih anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencerminkan kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta dalam usaha menyantuni masyarakat luar bandar serta pedalaman.

Menurut Pegawai JAKIM Nabawan Awang Malik, program tersebut bukan sekadar menyalurkan bantuan kebajikan, malah menjadi medium penting untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat, khususnya di kawasan pedalaman.

Awang Malik bersama wakil agensi terlibat berganding bahu membantu proses pemunggahan bakul makanan sebelum sesi pengagihan dijalankan.

“Melalui program turun padang seperti ini, kita dapat memahami keperluan sebenar masyarakat setempat di samping meringankan beban kehidupan harian mereka. Ia secara tidak langsung mengukuhkan semangat kebersamaan serta keharmonian dalam komuniti.

“Agihan bakul makanan ini melibatkan penerima tanpa mengira latar belakang agama, termasuk golongan bukan Islam yang disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pendekatan ini jelas mencerminkan nilai kasih sayang dan keprihatinan sejagat,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kasih di Dewan Pekan Kecil Pensiangan, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Nabawan merangkap Pengerusi Badan Dakwah Nabawan, Ts. Marshal Anthony, berharap agar lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta pihak swasta tampil menghulurkan kerjasama dalam menjayakan program kebajikan seumpama ini pada masa akan datang.

Marshal Anthony menyampaikan bakul makanan kepada penerima dari Mukim Pagalungan.

“Program Semarak Kasih diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam menyemai nilai empati, keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat. Kerjasama erat pelbagai agensi yang terjalin hari ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan bersama, malah mengukuhkan semangat kerja berpasukan dalam membantu masyarakat luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Untuk makluman, penduduk di sekitar Mukim Pensiangan dan Pagalungan menerima manfaat menerusi pengagihan sebanyak 350 bakul makanan melalui Program Semarak Kasih, sekali gus membantu meringankan beban golongan memerlukan di kawasan pedalaman.

-RJ-

Tinggalkan komen anda