
Laporan/foto: Boniface Watt Su / Ignatius Golen Anak Sugai (Pakan)
PAKAN, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan, di sini semalam melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat bagi mengesan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di Rumah Suwie Berasok, Pakan.

Pasukan SAR menjalankan pencarian mangsa di sekitar kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa, Seriah Anak Luyoh, 68, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada pagi Selasa lalu kira-kira jam 11 pagi selepas keluar mencari sayur di kawasan belakang rumah panjang berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah usaha awal mengesan mangsa telah dilakukan ahli keluarga terdekat namun gagal menemui sebarang petunjuk.
Operasi SAR kemudiannya diaktifkan sepenuhnya selepas pihak polis menerima laporan daripada adik ipar mangsa, Suit Lawat, semalam.

DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, menyampaikan taklimat dan penerangan kepada pasukan keselamatan serta sukarelawan berhubung pelaksanaan dan pergerakan Operasi SAR di lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan di sekitar kawasan kejadian dan dijangka akan disambung pada keesokan hari bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi talian kecemasan MERS 999.
-RJ-





