
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Golongan bujang menyifatkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai bantuan yang amat bermakna dan mampu meringankan beban kos sara hidup, khususnya untuk keperluan harian seperti makanan dan barangan dapur.

Siti Nurhajar Azharuddin ketika ditemuramah oleh JapenPhgTV
Menurut seorang pekerja swasta, Siti Fatimah Hasan, 26, bantuan SARA yang diterima sedikit sebanyak membantu rakyat dalam mengurus perbelanjaan asas.
“Bantuan ini dapat meringankan beban kami dari segi keperluan harian. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Pandangan sama turut di kongsi jurujual, Siti Nurhajar Azharuddin, 28, yang menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang baik dan wajar diteruskan.
“Program ini sangat bagus dan membantu rakyat. Saya berharap ia dapat dipanjangkan lagi kerana kos sara hidup sekarang semakin meningkat,” katanya.

Salah seorang penerima SARA ketika ditemubual
Sementara itu, penuntut Kolej Universiti Widad, Nurhidayah Mohamad Yusri, 23, berkata bantuan SARA amat membantu dalam kehidupan seharian khususnya untuk membeli makanan dan barangan keperluan.
Rakannya yang juga merupakan penuntut di tempat sama, Adlib Irhanan Yasmin, 23, turut mengakui bantuan SARA yang diterima sebelum ini banyak membantu untuk membeli barangan dapur.
“Kami berharap selepas ini akan ada bantuan khas untuk pelajar seperti kami,” katanya.
Mereka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan bujang dan pelajar dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
-AA-





