
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada lepasan diploma terpilih menerima bantuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM481,232.49.

Dr. Asmadi bergambar dengan salah seorang penerima bantuan pembiayaan PTPTN.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata pembiayaan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, malah sebagai pengiktirafan kepada usaha gigih anak-anak asnaf yang berjaya membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan akademik.
“Bantuan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dan melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pembiayaan PTPTN Anak Asnaf Cemerlang Tahun 2025, di sini semalam.
Majlis diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar daripada kalangan anak asnaf yang berjaya mencapai prestasi akademik cemerlang dalam pengajian masing-masing.
Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan Ibu Pejabat PTPTN Azhar Ahmad, Pengarah PTPTN Negeri Pahang Sapiza Ajuhari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang Dr. Mohd Azmi Othman.

Dr. Asmadi menyampaikan cek cura bantuan kepada wakil (bapa) penerima yang tidak dapat hadir ke majlis.
Pemilihan penerima bantuan adalah berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).
Mengikut pecahan PNGK, seramai dua orang pelajar yang memperoleh PNGK antara 3.75 hingga 4.00 menerima pembiayaan 100 peratus.
Sementara itu, 13 orang pelajar dengan PNGK 3.59 hingga 3.74 layak menerima pembiayaan sebanyak 75 peratus, manakala 25 orang pelajar yang mencatat PNGK 3.00 hingga 3.49 menerima pembiayaan 50 peratus.
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan PTPTN serta Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang dalam menyokong pembangunan pendidikan golongan asnaf demi melahirkan modal insan berilmu dan berdaya saing.
-RI





