
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan
LABUAN, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Seorang pengusaha kedai serbaneka di sini dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan kerana gagal mematuhi peraturan jualan murah sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah), Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Pemeriksaan penguatkuasaan mendapati peniaga gagal mematuhi peraturan jualan murah di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah), Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
“Fokus pemeriksaan adalah terhadap pematuhan peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815]. Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah mengadakan promosi jualan murah tanpa mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal terlebih dahulu sebagaimana yang diwajibkan di bawah perundangan berkuat kuasa.
“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 730, pesalah individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali,”menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Notis Jualan Murah perlu dikemukakan kepada Pengawal terlebih dahulu bagi melindungi kepentingan pengguna.
Jelasnya, KPDN memandang serius sebarang ketidakpatuhan berkaitan pelaksanaan promosi jualan murah kerana kegagalan mengemukakan Notis Jualan Murah boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan ketelusan transaksi perdagangan.
“Sehubungan itu, KPDN sentiasa memantau transaksi jualan serta permohonan jualan murah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan pengguna menerima maklumat yang jelas, tepat dan telus.
“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika dan mematuhi undang-undang,” katanya.
-RI





