Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerlis

Perlis Destinasi Ideal Pelancongan Autentik

By 24 Januari 2026Januari 26th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Perlis, negeri paling utara di Semenanjung Malaysia, semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan ketenangan dan pengalaman autentik kepada pengunjung.

Berbeza dengan bandar besar, pusat bandar Kangar kekal tenang walaupun pada hari puncak, membolehkan pelancong menikmati suasana santai tanpa kesesakan lalu lintas dan kesibukan kota.

Gua Kelam 2 punya sejarah dan keindahan tersendiri.

Keadaan ini menjadikan Perlis sesuai sebagai destinasi untuk merehatkan minda dan badan.

Antara tarikan alam semula jadi utama di Perlis termasuk Tasik Timah Tasoh dengan panorama Bukit Chabang, serta Wang Kelian Viewpoint yang menawarkan pemandangan Banjaran Nakawan dan kawasan sempadan Thailand.

Selain itu, aktiviti ekopelancongan dan lasak turut menjadi tarikan seperti Titian Canopy FRIM, aktiviti kayak di Kampung Wai, serta ATV Chuping yang menawarkan pengalaman lebih mencabar namun santai kepada pelancong.

Destinasi lain seperti Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Gua Kelam 2 dan COLEY Kampung Warna Warni, Seberang Ramai turut menjadi pilihan pelancong yang ingin menikmati gabungan alam semula jadi, seni dan warisan komuniti.

Aktiviti lasak seperti menaik ATV di Felda Chuping memberi suasana Jelajah Kampung.

Perlis juga terkenal dengan tarikan kulinari seperti nasi kandar, ikan bakar, nasi campur serta Laksa Kuala Perlis yang terkenal dengan kuah ikan pekat dan rasa autentik.

Menurut Noor Azizah Hanapiah, 52, pelancong dari Kuala Lumpur, suasana santai di Kangar dan keindahan alam sekitar memberi pengalaman yang jauh berbeza daripada kesibukan kota.

Sementara itu, Maslizan Mas’od, 53, pelancong berasal dari Johor, berkata makanan laut yang segar memberikan pengalaman unik ketika melancong ke Perlis.

Secara keseluruhan, Perlis membuktikan bahawa gabungan ketenangan, alam semula jadi, aktiviti lasak namun santai dan makanan tempatan mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang berkualiti dan autentik buat pelancong.

-RI

Tinggalkan komen anda