
Laporan/foto: Aniss Rahim/Mahadi Mustaffa (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 yang mula disalurkan kepada penerima berkelayakan sejak 19 Jan lalu menerima sambutan positif daripada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Seorang peniaga, Mariam Abdul Rahman, 45, dari Kampung Dura, di sini berkata bantuan tersebut banyak membantu keluarganya dalam menampung keperluan harian.

Mariam bersyukur kerana bantuan ini membantu kami sekeluarga memembeli barangan dapur dan kegunaan persekolahan anak.
“Kami amat bersyukur kerana bantuan ini membantu membeli barangan dapur dan keperluan persekolahan anak-anak. Walaupun nilainya tidak besar, namun ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kuala Berang, di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ikhwan Rosli, 44, memaklumkan beliau tidak layak menerima STR pada tahun ini kerana pendapatan isi rumah melebihi syarat kelayakan.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan dikreditkan sebanyak RM100 melalui MyKad kepada penerima bermula 9 Feb depan.
“Bantuan ini amat bermakna dan sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan, khususnya menjelang persiapan Ramadan,” katanya.
Ikhwan turut berpandangan pelaksanaan inisiatif bantuan di bawah Kerajaan MADANI kini lebih tersusun dan mudah diakses berbanding sebelum ini.
“Permohonan secara digital menjadikan proses lebih mudah, telus dan mengurangkan risiko keciciran bantuan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan terus komited memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara bersasar demi kesejahteraan rakyat.
-RI





