
Laporan/foto: Aini/Pos Malaysia Berhad
KANGAR, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baru Cina 2026 semakin meriah dengan pelancaran POSperity Parade Angpow Packets daripada Pos Shop.
Koleksi edisi terhad angpau ini direka khas untuk menyemarakkan semangat kemakmuran Tahun Kuda, sekali gus memberi peluang kepada pengumpul dan penggemar cenderahati eksklusif menambah koleksi mereka dengan item yang unik dan kreatif.
Menurut Pengurus Runcit Negeri (Kedah/Perlis) Pos Malaysia Berhad Izzaida Abdullah koleksi angpau ini memberi pengalaman baru yang menyeronokkan.
“Setiap tahun, kami melihat ramai yang berminat terhadap angpau edisi khas kerana ia bukan sahaja menjadi cenderahati tetapi juga satu bentuk seni yang boleh dipamerkan,” katanya, di sini semalam.
Setiap angpau dalam koleksi POSperity Parade direka supaya boleh disambungkan antara satu sama lain, membolehkan pengumpul mempamerkan koleksi mereka dalam bentuk kreatif di rumah atau pejabat.
Pendekatan ini bukan sahaja menambah nilai estetika, tetapi juga memberi peluang untuk pengumpul berinteraksi dan berkongsi koleksi mereka di media sosial atau dalam komuniti hobi.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan angpau ini, setiap set boleh dibeli terus pada harga RM5.80 atau percuma dengan pembelian minimum RM20 dalam satu resit di Pos Shop di semua cawangan Pos Shop seluruh negara bermula hari ini.
Bukan itu sahaja, Pos Shop juga bakal melancarkan Setem Ku CNY 2026 dan Acrylic Charms Series yang menjadikan pengalaman mengumpul lebih menarik dan interaktif.
-RI





