
Laporan/foto: Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Kebakaran tanah gambut di kawasan tapak pelupusan sampah Bandar Penawar dan Taman Bayu Damai di sini terus berlarutan sejak 23 Jan lalu, menyebabkan pencemaran udara ekoran asap tebal sekali gus memaksa penduduk terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di sini semalam.

Pihak bomba giat menjalankan operasi memadam kebakaran hutan melibatkan kawasan tanah gambut bagi mengawal api daripada terus merebak
Susulan kejadian, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengaktifkan dua PPS berkenaan iaitu Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal bagi menempatkan 138 mangsa daripada 47 keluarga.
Seorang mangsa, Norlina Mohd Zain, 40, berkata keadaan asap dan habuk tebal di kawasan perumahan menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan keluarganya, terutama anaknya yang menghidap asma.
“Kebakaran bermula sekitar lima ekar sebelum merebak hingga 15 ekar. Saya berharap kerja-kerja pemadaman dapat disegerakan kerana keadaan masih tidak selesa untuk kami pulang selagi asap berlarutan,” katanya.

Keadaan hutan yang terbakar dilihat masih berasap dan terkesan akibat kebakaran
Setakat ini, keluasan keseluruhan kebakaran dianggarkan kira-kira 246 ekar menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi pemadaman secara menyerang (attacking) menggunakan dua aliran sepanjang 152 meter, melibatkan satu monitor dan dua pancutan nozel.
Selain itu, kerja-kerja pengorekan parit turut dilaksanakan bagi mewujudkan fire break antara kawasan terbakar dan kawasan yang belum terjejas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang Dato’ Sri Azalina Othman Said memaklumkan pihaknya telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming bagi memohon kerjasama pemadaman melalui udara, termasuk operasi water bombing menggunakan helikopter bagi mempercepatkan usaha mengawal kebakaran.
-AA-





