Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kebakaran Hutan Simpan Menchali Berjaya Dikawal

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syaiful SAF (Rompin)/Pejabat Hutan Daerah Rompin

ROMPIN, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Insiden kebakaran hutan yang dilaporkan berlaku di Kompartmen 6, Hutan Simpan Menchali, berhampiran Kilometer 118 Jalan Rompin–Kuantan berjaya dikawal.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Rompin bertungkus lumus memadamkan kebakaran di tepi KM 118, Jalan Rompin-Kuantan.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Rompin Firdaus Zulnaim berkata pasukannya bersama Pejabat Renjer Hutan Rompin bergegas ke lokasi kejadian sejurus insiden berkenaan dikesan sekitar jam 4 petang, kelmarin.

“Hasil tinjauan awal mendapati kebakaran berlaku di bahagian kiri jalan dengan api berada dalam keadaan marak ketika pasukan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Hutan Daerah Rompin (R), Penolong Pemelihara Hutan, tiga Pengawas Hutan serta tiga Pembantu Khidmat Am tiba di lokasi.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rompin tiba di lokasi kira-kira 10 minit selepas panggilan dibuat. Pihak kami juga turut membantu operasi pemadaman sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya. Keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran tersebut dianggarkan sekitar 0.4 hektar,” katanya.

Pemandangan yang berjerebu di sepanjang jalan kawasan kebakaran menghadkan penglihatan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, sekitar jam 6.30 petang, kebakaran dilaporkan kembali marak di kawasan hutan di seberang jalan.

“Susulan itu, tindakan segera telah diambil dengan membina laluan sekatan api atau fire break menggunakan jengkaut bagi mengelakkan api daripada terus merebak,” jelasnya.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kejadian kebakaran hutan.

-RI

Tinggalkan komen anda